~KISAH BENAR~~Merayau Di Asrama Maktab Tentera DiRaja Sg Besi & Sebuah asrama puteri di Kelantan~~??
Sebut sahaja nenek kebayan, minda kita akan menggambarkan seorang nenek tua yang dilihat berjalan secara terbongkok-bongkok menyusuri jalan yang tidak diketahui. Sebuah kisah seram nenek kebayan yang dikaitkan dengan satu kejadian di sebuah asrama di Maktab Tentera DiRaja. Sejauh manakah dakwaan ini? Honey akan berkongsi artikel ini bersama anda untuk sama-sama kita nilaikan sejauh kebenaran kisah ini.
KEJADIAN ini berlaku di asrama Maktab Tentera Di Raja, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Tengah hari itu, semua pelajar lelaki pergi bersolat Jumaat di masjid berhampiran, kecuali seorang. Pelajar yang agak nakal ini cuba untuk ponteng. Dia menyorok di dalam almari pakaian dengan harapan tidak dapat dikesan warden.
Tetapi entah bagaimana, pelajar tersebut telah tertidur. Apabila sedar, hari sudah lewat petang. Pelajar itu menolak pintu almari, namun gagal. Rupa-rupanya pintu telah terkunci dari luar. Mungkin secara tidak sengaja, atau dikunci oleh rakan-rakan yang tidak sedar dia sedang bersembunyi di dalamnya.
DAM! DAM! DAM!
Pelajar tersebut terus mengetuk pintu almari dan memanggil kawan-kawannya. Sunyi sepi. Namun tidak seperti biasa, hari itu tiada suara yang menyahut panggilannya. Rupa-rupanya, semua penghuni asrama telah pulang ke kampung kerana hari itu adalah hari terakhir persekolahan!
Kini tinggallah dia keseorangan. Tiada siapa dapat membantunya. Akibat suhu yang panas dan kekurangan udara, pelajar berkenaan akhirnya mati kelemasan.
Tragedi itu memulakan kisah misteri yang berlaku di asrama elit tersebut, sampailah hari ini. Kalau ada pelajar tidur di katilnya, arwah akan baring di sebelah mereka. Pintu almari juga akan diketuk-ketuk dari dalam, biasanya pada hari Jumaat dan lewat malam.
Kisah ini belum berakhir. Di sebuah asrama Maktab Rendah Sains Mara di Perak pula berlaku satu kejadian menakutkan. Dini hari itu, seorang pelajar mengejutkan kawan di sebelah katil untuk menemaninya ke bilik air.
“Aku takutlah… aku dengar cerita tandas kita berhantu,” kata pelajar yang hendak ke tandas itu.
Sahabatnya tidak menjawab, hanya tersenyum dan menemaninya ke tandas. Selepas membuang hajat, pelajar pertama itu pergi ke singki untuk membasuh muka. Sebaik-baik paip dibuka dia terkejut. Yang keluar bukannya air, tetapi darah!
Dia menjerit memanggil sahabatnya yang masih di dalam bilik air. Tetapi suara yang menyahut panggilannya amat menakutkan. Garau dan pelik. Pelajar yang sedang ketakutan itu terus mengetuk pintu bilik air untuk mengajak kawannya pulang. Dan, kreeet…
Pintu terbuka, tetapi yang muncul bukanlah sahabatnya, sebaliknya lembaga berambut panjang, bermuka hodoh dan bermata merah. Pelajar itu pengsan di situ juga!
Sebuah asrama puteri di Kelantan pula terkenal dengan kisah seorang nenek yang duduk di atas almari sambil menggoyang-goyangkan kakinya.
Mengikut cerita, suatu malam seorang pelajar menyanyi-nyanyi seorang diri. Tiba-tiba pelajar itu terdengar ada suara pelik mengiringi nyanyiannya. Suara itu seperti suara seorang nenek dan alunannya amat meremangkan bulu roma.
Pelajar itu cepat-cepat menarik selimut dan memejamkan matanya. Dia cuba melelapkan mata tetapi gagal.
“Katil nombor satu dah tidur. Katil nombor dua dah tidur. Katil nombor tiga… pura-pura tidur!” tiba-tiba kedengaran suara seorang perempuan tua.
Pelajar itu menjengukkan kepala dan terkejut apabila melihat ada seorang nenek duduk di atas almari sambil menggoyang-goyangkan kaki dan memandang ke arahnya.
#Menggerunkan
No comments:
Post a Comment